
SEPANG: Seramai 283 jemaah umrah hari ini berangkat ke Tanah Suci melalui penerbangan terakhir pakej umrah bagi musim 1446 Hijrah yang dikendalikan Andalusia Travel & Tours (Andalusia).
Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, pihaknya menawarkan pakej istimewa RM5,490 seorang yang ditawarkan tiga hari sebelum Aidilfitri yang mana 566 tempat duduk habis ditempah dalam tempoh dua minggu.
Beliau berkata, penawaran pakej itu dibuat selepas pihaknya membuat keputusan membuka semula pakej umrah menggunakan visa pelancong kepada jemaah.
Katanya, sebelum ini kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan arahan jemaah yang menggunakan visa umrah perlu masuk ke negara itu sebelum 13 April dan keluar selewat-lewatnya 29 April ini.

“Bagaimanapun, bagi jemaah yang menggunakan visa pelancong, kerajaan Arab Saudi masih lagi memberi kelonggaran untuk mereka masuk bagi menunaikan umrah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penutup Kumpulan Umrah Terakhir Pakej 1446H (2024/2025M) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini.
Md Daud berkata, beliau berharap agar kumpulan jemaah tersebut dapat menunaikan ibadah dalam suasana tenang dan sempurna sebelum Arab Saudi membuat persiapan menyambut jemaah haji.
“Ketika ini banyak jemaah sudah mula keluar, tetapi kita dapat masuk. Tentulah keadaan di sana lebih lapang dan jemaah dapat lebih dekat dengan Kaabah,” jelasnya.
Terdahulu, seramai 283 jemaah telah berlepas semalam menerusi penerbangan MH156 Malaysia Airlines.
Untuk rekod, Andalusia berjaya menguruskan lebih 800,000 jemaah umrah dan haji dengan sempurna daripada segi pengurusan dan bimbangan sejak ditubuhkan 23 tahun lalu.







