KUALA LUMPUR: Isu membabitkan Jalur Gemilang yang berlaku sejak kebelakangan ini oleh pihak tidak bertangungjawab tidak boleh dipandang ringan kerana ia menggambar kedaulatan dan keharmonian negara.
Oleh hal demikian, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lembah Pantai menggesa satu siasatan dan Tindakan tegas segera dikenakan terhadap mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan provokasi menggunakan bendera Malaysia.
Tindakan tegas itu perlu bagi mengelakkan kejadian serupa berulang lagi.
Ketua AMK Lembah Pantai, Amelia Zainabila Ziffri berkata, insiden melibatkan penyiaran imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap adalah bertentangan dengan peruntukan di Bawah Seksyen 3 (1) (A) Akta 414 yang melarang penggunaan atau paparan lambing yang ditetapkan tanpa kebenaran bertulis dan Seksyen 3 Akta 193 yang mengawal paparan lambang kebangsaan.
“Kami membuat laporan polis dengan merujuk akta berkaitan di Bawah Kementerian Dalam Negeri.
“Kami berharap polis akan mengambil Tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya kepada media.
Terdahulu, Amelia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Brickfields berhubung insiden Jalur Gemilang yang tidak lengkap membabitkan satu daripada pempamer di Pameran Bayi Mid Valley seperti yang tular semalam.
Berikutan itu, pempamer tersebut sudah membuat permohonan maaf dan menutup reruai jualan mereka serta-merta.
Insiden itu dipercayai kali ketiga berlaku selepas dua syarikat akhbar menyiarkan Jalur Gemilang yang tidak lengkap.
