
KUALA LUMPUR: Lebih 6,000 orang menyertai program larian dan riadah Navy Run 24 anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) biarpun cuaca tidak menentu dengan hujan lebat melanda sejak awal pagi ini.
Navy Run 24 yang berlangsung di Dataran DBKL sempena program KL Car Free Morning itu merupakan edisi kedua dianjurkan sejak tahun lepas.
Program itu menyaksikan penglibatan warga The Navy People, anggota ATM, veteran, selebriti dan komuniti sekitar ibu kota.
Acara dimulakan dengan pelepasan peserta bagi larian sejauh 7 kilometer yang disempurnakan oleh Pangima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman.

“Program ini bukan sahaja sebagai platform mempromosi hidup sihat, tetapi juga melambangkan komitmen TLDM dalam mengukuhkan hubungan dengan masyarakat.
“Program ini juga bertujuan sebagai menghargai sumbangan rakan strategik yang sentiasa menyokong pembangunan sukan TLDM,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.
Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.
Sementara itu, Navy Run 24 turut dimeriahkan dengan aktiviti lain seperti senamrobik, persembahan pancaragam Pusat TLDM dan cabutan bertuah.