
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Pasukan MALBATT 850-12 telah melaksanakan program Civil Military Cooperation (CIMIC) di Hospital Kerajaan Tibnine sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk membantu masyarakat setempat menghadapi cabaran musim sejuk yang kian menghampiri.
Program tersebut turut menyaksikan penyerahan pelbagai sumbangan daripada pasukan MALBATT 850-12, termasuk ubat-ubatan, peralatan hospital, mainan serta bahan bacaan kanak-kanak yang disalurkan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi bin Haji Mohd Shalleh kepada wakil Pengarah Hospital Tibnine, En. Hasan Abbas.

Kolonel Johan Effendi berkata, sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan pasukan pengaman Malaysia untuk memperkukuhkan hubungan dengan komuniti tempatan dan meringankan beban mereka.
“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memberi impak positif kepada masyarakat setempat, terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini, di samping menyokong misi UNIFIL untuk mempromosikan keamanan dan kesejahteraan,” ujar beliau.
Program CIMIC ini juga merupakan aktiviti pertama yang dilaksanakan oleh MALBATT 850-12 sejak pasukan tersebut mengambil alih tugas operasi pada 16 November 2024.
Kejayaan program ini menjadi langkah awal yang penting dalam membina kepercayaan dan hubungan erat antara pasukan pengaman dan masyarakat setempat.
Sumbangan dan program yang dilaksanakan ini turut menunjukkan komitmen berterusan pasukan pengaman Malaysia untuk berkhidmat kepada masyarakat luar negara dalam misi menjaga keamanan, serta memberikan bantuan kemanusiaan di kawasan-kawasan yang memerlukan.
MALBATT 850-12 berharap agar inisiatif ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempererat hubungan antara ATM, masyarakat tempatan, dan organisasi antarabangsa di bawah misi UNIFIL.