
KOTA BHARU: Seramai 42,254 penduduk di seluruh negeri ketika ini berlindung di 189 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 29,023 pagi semalam sekali gus menunjukkan situasi bah di Kelantan kian memburuk.
Menurut InfoBencanaJKM setakat pukul 4 petang semalam, semua mangsa terlibat itu terdiri daripada 12,821 keluarga di 10 jajahan di negeri ini.
Menurutnya, daripada jumlah itu Pasir Mas menjadi lokasi paling teruk dilanda banjir apabila seramai 14,647 mangsa berlindung di 45 PPS.
“Ia diikuti Kuala Krai (3,947), Tanah Merah (3,685), Pasir Puteh (2,901), Tumpat (6,015), Kota Bharu (3,893), Bachok (2,157), Machang (2,901), Jeli (926) dan Gua Musang (32),” katanya.
Sementara itu, Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri berkata, tujuh sungai utama negeri ini iaitu Lebir, Tangga Krai, Sungai Golok di Rantau Panjang, Jenob dan Kuala Jambu, Sungai Melor (Bachok) dan Sungai Semerak (Pasir Puteh) melepasi paras bahaya.
Katanya, hujan lebat peringkat bahaya akan terus melanda negeri ini sehingga Jumaat.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Zainal Madasin ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, situasi banjir di negeri ini masih terkawal.
Katanya, JBPM Kelantan akan terus memberikan khidmat terbaik dalam membantu menyelamatkan mangsa banjir.
Di Terengganu, jumlah mangsa terus meningkat kepada 14,111 orang daripada 4,113 keluarga setakat pukul 4 petang.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, ketika ini, terdapat 190 pusat pemindahan sementara (PPS) yang sedang dibuka di tujuh daerah seluruh negeri ketika ini.
Menurutnya, Besut menjadi daerah yang paling teruk terjejas dengan mangsa terus meningkat kepada 5,076 orang daripada 1,370 keluarga di 69 PPS.
“Di Setiu, mangsa terus meningkat kepada 3,514 orang daripada 1,011 keluarga di 41 PPS manakala di Hulu Terengganu pula, mangsa terus meningkat kepada 3,351 orang daripada 1,103 keluarga di 46 PPS,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Di daerah Kemaman, sebanyak 18 PPS disediakan untuk 1,407 mangsa banjir daripada 407 keluarga manakala di Dungun, seramai 446 mangsa daripada 135 keluarga berada di lapan PPS.
Katanya, pertambahan mangsa di Marang paling sedikit iaitu 84 keluarga di tujuh lokasi.
“Kuala Nerus menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan 21 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke satu PPS,” katanya.