KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merangkul tiga pingat emas dan satu perak dalam program Inovasi Peringkat Dunia-Seoul International Invention Fair (SIIF) 2024 di Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.
Program bermula 27 November hingga kelmarin itu menyaksikan penyertaan sebanyak 519 pasukan inovasi dari lebih 32 negara.
Menerusi kenyataan, TUDM memaklumkan hasil projek inovatif peserta dinilai dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, alam sekitar dan teknologi maklumat.

Menurutnya, TUDM melantik Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS) untuk mengurus dan membawa kontinjen Kementerian Pertahanan termasuk Tim Inovasi Malaysia ke pameran itu.
“Ketua Delegasi Inovasi TUDM, Leftenan Kolonel Mohamad Rosdzni Abdul Karim berupaya mengatur gerak, mengkaji serta memastikan pasukan inovasi TUDM bersedia bersama kelengkapan yang baik.
“Ketua Projek RAIN dan juga Ikon Inovasi TUDM, Mejar Mohd Haziq Izzat Sulaiman serta Ketua Projek RWR B-Sensing Mejar Hasif Yahaya berjaya memberi persembahan cemerlang.
“Moderator dan Ikon Inovasi Kementerian Pertahanan, Mejar Hairul Zaimy Ibrahim turut mengatur strategi hebat terhadap Projek Inovasi TUDM bagi memastikan TUDM dan kementerian mampu bersaing dengan pencipta dari seluruh dunia,” katanya.
Menurut kenyataam itu, Projek Inovasi RAIN berjaya merangkul satu pingat emas daripada penilaian SIIF, satu pingat emas (Thailand Invention Special Award).
Katanya, Projek RAIN dan RWR B-Sensing turut menerima satu pingat emas (Vietnam Innovation Special Award) selain satu pingat perak (Penilaian SIIF).
“Semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan empat pegawai apabila berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan satu pingat perak menjadi kebanggaan seluruh warga TUDM.
“Ini adalah kemenangan terbesar Inovasi TUDM peringkat dunia kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Mindef,” katanya.

Pada masa sama, Ikon Inovasi TUDM dan Ikon Inovasi Mindef turut mendapatkan penghargaan daripada lapan negara iaitu Korea Selatan, Indonesia, Maghribi, Thailand, Taiwan, Filipina, Arab Saudi dan Vietnam.
Wakil Sekretariat Inovasi Mindef, Syaidatul Azla Abdul Malek menzahirkan menghargai pengorbanan pasukan Inovasi TUDM dalam membantu memberi kejayaan luar jangka kepada Mindef.
Selain Tim Inovasi TUDM, turut menyumbang kejayaan adalah Tim Inovasi TLDM serta Tentera Darat Malaysia apabila masing-masing memperolehi dua pingat perak dan satu pingat gangsa serta Singapore Special Award.
