

KUALA LUMPUR: Pelaburan jangka panjang membabitkan sektor penjagaan kesihatan, pengendali lapangan terbang dan tenaga dapat dibawa masuk ke negara ini susulan lawatan kerja Perdana Menteri ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama tiga hari sejak Ahad lalu.
Menerusi satu hantaran dalam platform X hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, sinergi padu antara Malaysia dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) mewujudkan keyakinan terhadap potensi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan berdaya saing.
“ADIA hadir dengan membawa bersama-sama suara rakan syarikat pelaburan global yang lain dalam meneroka pelbagai peluang pelaburan yang terhidang di Malaysia.
“Tidak mustahil, pelaburan jangka panjang dapat disuntik termasuk membabitkan sektor penjagaan kesihatan, pengendali lapangan terbang dan tenaga, Insya Allah,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri memulakan hari kedua lawatan kerja dengan mengadakan pertemuan dengan tiga pengurusan kanan Dana Kekayaan Berdaulat negara itu di sini iaitu Pengarah Urusan ADIA Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mubadala Khaldoon Khalifa Al Mubarak dan CEO Masdar Mohamed Jameel Al Ramahi.
Jadual padat menanti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari terakhir lawatan kerjanya di UAE pada hari Selasa, termasuk perjumpaan dengan Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.
Selepas perjumpaan itu Anwar dijadual menghadiri majlis perasmian Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025 di ADNEC Center di sini.
Pada sidang Pleno ADSW, Perdana Menteri akan terlibat dalam dialog ‘ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity’. Ia sejajar dengan tema kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Anwar turut dijadual menghadiri Anugerah Hadiah Kelestarian Zayed dan forum ‘Youth 4 Sustainability’.
Hari ini juga akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA), yang bertujuan membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi.
Selepas berakhir program di ADNEC Centre, Perdana Menteri berlepas ke London, United Kingdom (UK) bagi meneruskan program rasmi beliau di negara tersebut.