
KUALA LUMPUR : Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, agihan keuntungan berkenaan berjumlah RM2.92 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit TH.
“Kadar tersebut dicapai setelah mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.5775 peratus (RM99.35 juta),” katanya pada sidang media pengumuman kadar agihan keuntungan TH bagi tahun kewangan 2024, di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata, agihan keuntungan tertinggi sejak 2018 itu dipacu prestasi pelaburan lebih baik, kesan pertumbuhan ekonomi dan pasaran saham negara yang positif pada 2024, di samping usaha berterusan bagi mengawal kos operasi.
“Alhamdulillah, ini menjadikan jumlah agihan keuntungan sejak penubuhan selama 61 tahun terkumpul sebanyak RM45.79 bilion sehingga kini.
Beliau berkata pendeposit boleh menyemak Agihan Keuntungan 2024 yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula Ahad ini, menerusi platform THiJARI, kaunter Tabung Haji, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat, selain saluran elektronik bank rakan strategik Tabung Haji iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan pelunasan zakat sebanyak RM99.35 juta kepada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri (MAIN) bagi pihak pendeposit untuk tahun 2024, yang diselaras berdasarkan nisbah baki simpanan pendeposit mengikut negeri.
Katanya, pelunasan zakat itu secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar.