
KUALA LUMPUR: Semua pihak termasuk masyarakat dan pemimpin politik di negara ini diingatkan supaya berhenti memainkan isu perkauman dan agama.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata, ia susulan kenyataan berbaur perkauman yang dilihatnya kerap dilontarkan pihak tidak bertanggungjawab sejak kebelakangan ini.
“Tengok komen-komen bukan sahaja daripada masyarakat biasa, pemimpin politik pun sama. Jangan tunggang isu agama, isu perkauman.
“Tak ada modal lain ke nak bercakap. Saya lihat ada pemimpin pembangkang melibatkan isu sama ada PM boleh kekal 10 tahun, dua penggal atau tidak.
“Ada yang mengatakan ini salah dari segi agama. Ini betul-betul kegilaan apa…semua nak kaitkan agama, kaum. Tolonglah isu yang dipolitikkan ini perlu dihentikan,” katanya selepas melawat Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India hari ini.
Sementara itu mengenai isu perpindahan kuil berkenaan, beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata pihak kerajaan tidak pernah sama sekali mengeluarkan kenyataan menggunakan perkataan merobohkan, sebaliknya adalah mengalihkan dan memindahkan rumah ibadat berkenaan.
Beliau juga mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam penggunaan perkataan yang boleh menyakitkan hati pihak-pihak tertentu.
Katanya, kerajaan memberi jaminan tidak akan merobohkan struktur kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, malah perkara itu telah dibincangkan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya boleh bagi jaminan di sini, nasib semua kaum akan terbela secara adil. Kita akan berlaku adil terhadap semua kaum dalam isu ini, khususnya komuniti India.
“Isunya adalah tanah milik swasta tetapi kerajaan masih lagi akan mengambil berat hal ini. Perdana Menteri pun ada bincang dengan saya, beliau sangat mengambil berat atas isu ini dan beliau pun nak cari satu jjalan penyelesaian yang baik, adil dan juga harmoni,” katanya.