
PUTRAJAYA: Tradisi pemberian kurma sempena Ramadan diteruskan sebagai tanda penghargaan dan kebersamaan dalam kalangan warga Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Sumbangan buah kurma itu disampaikan sendiri oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim senagai menyantuni warga KESUMA, sekali gus melambangkan semangat perpaduan dan keprihatinan di bulan Ramadan yang penuh berkat.
Menurut Steven, Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi masa untuk semua pihak mengukuhkan perpaduan, berkongsi rezeki dan menghargai sesame insan.
“Pemberian kecil ini melambangkan penghormatan serta penghargaan kepada warga KESUMA yang sentiasa komited dalam tugas mereka,” katanya.
Selain itu, Steven turut menzahirkan penghargaan kepada para pekerja yang terus berkhidmat penuh dedikasi.
Katanya, setiap usaha dan sumbangan warga kerja amat bermakna dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan berjalan lancar.
“Kecekalan dan semangat mereka menjadi tunjang kepada kemajuan organisasi dan negara.
“Inisiatif ini juga mencerminkan nilai sambutan bersama dalam semangat Malaysia Madani, yang menekankan keprihatinan dan kebersamaan dalam membina masyarakat yang lebih harmoni.
“Ramadan mengingatkan kita tentang pentingnya kasih sayang dan solidariti, bukan hanya dalam keluarga tetapi juga di tempat kerja dan dalam kehidupan bermasyarakat,” ujarnya.
Sehubungan itu, Steven berharap bulan suci ini dapat mengukuhkan silaturahim, menyemai nilai kemanusiaan dan mendorong semua terus berbuat kebaikan.