
Kuala Lumpur : Kerajaan bersetuju dengan terma dan syarat perjanjian dengan syarikat Ocean Infinity (United Kingdom) untuk meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 Selatan Lautan Hindi yang hilang sejak 8 Mac, 2014.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata kementeriannya akan mewakili kerajaan bagi menandatangani perjanjian pencarian dengan syarikat Ocean Infinity.
“Jemaah Menteri pada 19 Mac 2025 telah bersetuju dengan terma dan syarat perjanjian dengan syarikat Ocean Infinity (United Kingdom).
“Keputusan Jemaah Menteri ini membolehkan operasi pencarian dasar laut dimulakan bagi mengesan bangkai pesawat MH370 di satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip “ ‘tiada jumpa, tiada bayaran’,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, mengikut prinsip ini, Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui.
“(Namun) fi sejumlah AS$70 (RM310.3 juta) juta akan dibayar kepada Ocean Infinity sekiranya bangkai pesawat MH370 berjaya dijumpai.
“Kerajaan komited meneruskan operasi pencarian dan memberikan penutup bagi keluarga waris penumpang pesawat MH370,” katanya.
Untuk rekod, Ocean Infinity pada 201 memulakan pencarian ‘tiada jumpa, tiada bayaran’ selama tiga bulan, meliputi kira-kira 112,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi, namun tiada sebarang bukti penemuan.
Februari lalu, Anthony mengesahkan pihaknya memberi kelulusan prinsipal dan dalam proses memuktamadkan kontrak untuk ditandatangani.
Ocean Infinity yang juga syarikat dari United Kingdom memberi jaminan pencarian mereka adalah berdasarkan penyelidikan dan data daripada pelbagai pakar.