
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak ketika ini tidak mampu menjelaskan denda RM50 juta yang menjadi antara syarat bagi membolehkannya menjalani baki hukuman kes SRC International di bawah tahanan rumah.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, keadaan kewangan bekas Perdana Menteri itu tidak membolehkannya menyediakan jumlah berkenaan susulan beberapa akaun bank miliknya yang didakwa masih dibekukan.
Menurutnya, antara akaun yang dibekukan ialah akaun Affin Bank yang menurut beliau pernah digunakan Najib untuk menerima gaji ketika menjawat jawatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen.
“Akaun bank Najib dibekukan, termasuk akaun Affin Bank yang menurutnya digunakan untuk menerima gaji sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini, ketika menjelaskan perkembangan berkaitan pelaksanaan pengampunan bersyarat dan permohonan penangguhan hukuman Najib dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Muhammad Shafee berkata, Najib juga tidak pernah meminta sumbangan daripada orang awam bagi membayar denda RM50 juta berkenaan.
Katanya, anak guamnya berada dalam keadaan serba salah kerana perlu menjelaskan denda berkenaan sebagai antara syarat pengampunan bersyarat, namun pada masa sama tidak mempunyai kemampuan untuk membayarnya.
“Dia serba salah sebab dia sepatutnya bayar, tetapi dia tidak ada duit,” katanya.
Sebelum ini, firma guaman yang mewakili Najib memaklumkan sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah anak guamnya masih tertakluk kepada perintah pembekuan serta tindakan penguatkuasaan kerajaan.
Sehingga denda berkenaan dijelaskan kepada mahkamah, Najib kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Shafee turut memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima surat rasmi berhubung keputusan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.
Sementara itu, permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun berkaitan kes 1MDB akan didengar di Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober ini





