
KUALA LUMPUR: Cadangan supaya rumah Datuk Seri Najib Razak dipasang kawat duri, lampu sorot serta ditempatkan pengawal bersenjata bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani tahanan rumah disifatkan sebagai tidak masuk akal.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pelaksanaan tahanan rumah sepatutnya membolehkan seseorang menjalani kehidupan secara normal, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Menurutnya, tahanan rumah tidak seharusnya dilihat sebagai bentuk hukuman yang memerlukan kawalan keselamatan seperti sebuah penjara.
“Kenapa tidak dipasang kawat duri di sekeliling rumah Datuk Seri Najib, letakkan lampu dan bina rumah pengawal yang tinggi untuk pengawal duduk di situ dengan membawa submesin gun?
“Cadangan itu tidak masuk akal kerana ia tidak selari dengan rasional pelaksanaan tahanan rumah,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Muhammad Shafee berkata, tahanan rumah adalah mekanisme berbeza daripada parol atau pengurangan hukuman dan bukan sesuatu pengaturan luar biasa bagi banduan.
Katanya, tahanan rumah bermaksud seseorang menjalani hukuman di luar penjara, manakala pengurangan hukuman membolehkan tempoh pemenjaraan dipendekkan berdasarkan kelayakan tertentu.
“Parol pula melibatkan proses berasingan yang ditentukan oleh lembaga parol. Tahanan rumah tiada kaitan dengan parol, tiada kaitan dengan pengurangan hukuman, langsung tiada,” katanya.
Menurutnya, terdapat pengaturan sebelum ini yang membolehkan banduan meninggalkan penjara untuk tempoh tertentu menerusi lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa, termasuk bagi menyambut perayaan.
Beliau berkata, tempoh berkenaan boleh berlangsung antara tujuh hari hingga sebulan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
“Jika anda langgar syarat, anda kembali ke penjara. Jadi, itu ialah tahanan rumah yang terhad, tetapi ia tetap tahanan rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Shafee berkata, banyak spekulasi timbul mengenai bagaimana tahanan rumah Najib akan dilaksanakan, termasuk syarat yang bakal dikenakan.
Katanya, pasukan guaman Najib masih mempunyai maklumat terhad kerana belum menerima surat rasmi yang memperincikan syarat pengampunan bersyarat berkenaan.
Najib, 73, ketika ini masih menjalani hukuman di Penjara Kajang sementara menunggu urusan berkaitan pelaksanaan pengampunan bersyarat itu diselesaikan.
Mahkamah Tinggi hari ini juga menetapkan 14 Oktober depan untuk mendengar permohonan Najib bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion selepas disabitkan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).




