
BALIK PULAU: Seorang lelaki warga China mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pertuduhan cuba mencuri dompet milik seorang lelaki dari dalam beg galasnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), minggu lalu.
Tertuduh, Chen Bangjun, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba mencuri sebuah dompet dari dalam beg galas milik seorang lelaki antara pukul 9.25 pagi hingga 10 pagi di LTAPP, Bayan Lepas pada 17 September lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, Seksyen 379 memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan cubaan mengikut Seksyen 511 pula, hukuman penjara yang dikenakan tidak boleh melebihi separuh daripada tempoh maksimum hukuman bagi kesalahan berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sofi Jaafar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Teh Yi Kai memohon hukuman dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja dan sudah insaf selepas menjalani perintah reman selama sembilan hari di lokap.
“Kesalahan ini hanya cubaan mencuri dan tiada kerugian sebenar dilaporkan. Tertuduh juga mengakui perbuatannya didorong oleh ketamakan,” katanya ketika prosiding.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.




