
KUALA LUMPUR: Rapper Amerika Syarikat, Macklemore mengumumkan jelajah konsert dikenali sebagai ‘Free Palestine Tour’.
Macklemore atau nama sebenarnya Benjamin Haggerty, mengumumkan jelajah itu pada Khamis dengan menyatakan sebahagian hasil konsert akan disalurkan kepada organisasi yang memberikan sokongan kepada rakyat Palestin.
“Seperti anda semua sedia maklum, jadual saya agak lapang,” katanya ketika mengumumkan jelajah berkenaan.
Jelajah itu dijadualkan bermula di Dublin, Ireland, pada 26 Oktober ini sebelum diteruskan ke Paris pada 29 Oktober dan London pada 30 Oktober.
Tarikh persembahan di Amerika Syarikat pula akan diumumkan kemudian, dengan jualan tiket tambahan dijangka dibuka minggu depan.

Pengumuman itu dibuat susulan kontroversi membabitkan penyertaan Macklemore dalam Loop Tour Ed Sheeran.
Awal bulan ini, Macklemore menyatakan sokongan terbukanya terhadap rakyat Palestin ketika membuat persembahan di MetLife Stadium, New Jersey, Amerika Syarikat (AS) termasuk melaungkan slogan “Free Palestine”.
Dia telah disingkirkan daripada baki persembahan jelajah tersebut di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, Ed Sheeran menjelaskan keputusan berkenaan dibuat oleh pihak penganjur jelajah dan bukannya dirinya.
Kontroversi itu turut menyaksikan beberapa artis sokongan lain menarik diri daripada jelajah Ed Sheeran sebagai tanda solidariti terhadap Macklemore.
Dalam kenyataan terbaharunya, Macklemore berkata perkembangan yang berlaku sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini menunjukkan wujud perubahan dalam cara masyarakat melihat isu pembebasan Palestin, kuasa golongan berpengaruh serta peranan artis dalam menggunakan platform mereka.
Dia turut mendakwa wujud usaha untuk menyekat suara yang menyokong Palestin.
“Apa yang berlaku kepada saya lebih besar daripada seorang artis atau satu pentas.
“Apabila golongan bilionair boleh menentukan suara siapa yang dibenarkan berada di atas pentas dan suara siapa yang dianggap terlalu berbahaya untuk didengar, semua orang sepatutnya memberi perhatian,” katanya.
Macklemore berkata, sepanjang minggu lalu dia turut menghubungi beberapa artis yang pernah menggunakan platform mereka untuk menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin, walaupun berdepan risiko terhadap kerjaya masing-masing.
Jelajah ‘Free Palestine’ itu akan menampilkan Macklemore bersama beberapa artis jemputan, dengan nama mereka akan diumumkan kemudian.
Pihak penganjur memaklumkan hasil daripada konsert berkenaan akan disalurkan kepada pelbagai organisasi yang menyediakan bantuan kemanusiaan, perubatan, pendidikan dan sokongan kepada rakyat Palestin.







