
KUALA LUMPUR: Persekutuan Permotoran Bahrain (BMF) telah menggariskan pelan penganjuran dan logistik bagi perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix yang akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Okt.
Menurut Agensi Berita Bahrain (BNA), Pengurus Besar BMF Abdulaziz Al Thawadi yang juga ketua delegasi persekutuan itu, mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bersama wakil pasukan penganjur di tempat penginapan delegasi Bahrain di Kuala Lumpur pada Ahad.
Mesyuarat yang turut dihadiri penyelaras perlumbaan dan setiausaha Mohammed Al Jowder, meneliti pelan kerja dan aturan penganjuran bagi perlumbaan itu serta aspek teknikal, logistik dan pengaturan acara berkenaan.
Mesyuarat itu juga membincangkan rancangan untuk menyambut ketibaan pasukan dan kakitangan dari Bahrain minggu hadapan, termasuk urusan sambutan di lapangan terbang, pengangkutan, penginapan di hotel rasmi delegasi serta penyelarasan antara pelbagai organisasi dan pasukan terlibat.
Pasukan BMF, dengan kerjasama Litar Antarabangsa Bahrain (BIC), giat melakukan persiapan Grand Prix Gulf Air Bahrain di SIC, dengan memanfaatkan pengalaman luas kedua-dua pihak dalam aspek penganjuran dan pengendalian acara serta perlumbaan antarabangsa berprestij. -Bernama-BNA







