
KUALA LUMPUR: Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 (Akta 861) dan Peraturan-Peraturan Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 sebagai usaha merealisasikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), akan mula berkuat kuasa esok.
Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan akta yang terpakai di Semenanjung serta Wilayah Persekutuan Labuan itu diwartakan pada 26 November lalu akan menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih mampan tenaga.
Menurut kenyataan itu lahi, akta berkenaan terdiri daripada 10 bahagian utama merangkumi antaranya kewajipan pengguna tenaga dan diperluas kepada pengawalseliaan produk menggunakan tenaga (EUP), akan dilaksanakan di bawah pengawalseliaan ST sebagai agensi penguatkuasaan yang bertujuan meningkatkan lagi kecekapan dan konservasi tenaga.
“ST memberitahu antara perkara utama yang digariskan dalam akta itu ialah kewajipan pengguna tenaga yang menggunakan tenaga menyamai atau melebihi ambang 21,600 GJ setahun untuk melantik pengurus tenaga berdaftar, membangunkan dan melaksanakan sistem pengurusan tenaga, menyediakan laporan kecekapan tenaga, dan menjalankan audit tenaga,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, keperluan penarafan kecekapan tenaga bagi bangunan yang disenaraikan di dalam Jadual Ketiga, iaitu bangunan dikehendaki mempamerkan label intensiti tenaga dan memenuhi standard kecekapan tenaga minimum.
“Perkara lain yang terkandung dalam akta itu ialah keperluan pendaftaran terhadap pengilang dan pengimport produk menggunakan tenaga, dengan produk yang berkaitan perlu memenuhi standard prestasi tenaga minimum (MEPS), mempamerkan label penarafan kecekapan tenaga dan menggalakkan penggunaan produk cekap tenaga dalam pasaran.
“Terdapat juga keperluan pendaftaran bagi pengurus tenaga dan juruaudit tenaga termasuklah keperluan untuk kelayakan akademik dan profesional tertentu bagi meningkatkan standard profesional dalam pengurusan tenaga; dan pendaftaran institusi latihan yang terlibat dalam latihan berkaitan dengan kecekapan tenaga, kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, ST memaklumkan Peraturan-Peraturan Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 yang memperincikan keperluan pelantikan pengurus tenaga, sistem pengurusan tenaga, audit tenaga dan pelaporan kecekapan tenaga, akan melengkapkan penguatkuasaan Akta 861.
“Antara inti pati penting di bawah Peraturan-Peraturan itu ialah tanggungjawab pengguna tenaga untuk melantik pengurus tenaga berdaftar dalam kalangan pekerja mereka sekiranya penggunaan tenaga melebihi ambang penggunaan yang telah ditetapkan.
“Laporan audit tenaga juga hendaklah dikemukakan kepada ST mengikut tempoh yang ditetapkan. Peraturan-Peraturan itu memperuntukkan keperluan bagi label intensiti tenaga untuk bangunan dan label terbabit perlu diperbaharu setiap tahun,” menurut kenyataan itu.