
KUCHING : Sarawak dijangka memuktamadkan proses akhir pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) menjelang suku pertama 2025, yang mana sepatutnya selesai tahun ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, proses berkenaan perlu dilanjutkan bagi memberi masa untuk juruaudit yang dilantik meneliti nilai aset MASwings dikemukakan kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG).
“Kita ada nilai kita sendiri dan mereka (MAG) ada nilai mereka sendiri, jadi kita perlu tanya pihak ketiga (audit) untuk anggarkan nilai aset MASwings.
“Sepatutnya bulan ini selesai tetapi disebabkan ada perbezaan nilai (yang dikemukakan kedua-dua pihak)…sebaik sahaja proses ini selesai jadi selesailah proses pengambilalihan tetapi yang pasti tahun depan suku pertama,” katanya.
Abang Johari berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek bangunan perubatan dan komersial Yayasan Buah Pinggang Che Hia Khor Moral Uplifting Society (CHKMUS) di sini hari ini.
Antara destinasi antarabangsa menjadi pilihan syarikat penerbangan Sarawak apabila pengambilalihan syarikat MASwings itu selelasi ialah Jerman, Korea, Jepun, Hong Kong dan Bangkok.
Sementara itu, Abang Johari dalam ucapannya berkata, kerajaan Sarawak setakat ini telah mengagihkan 32 mesin dialisis di beberapa pusat dialisis terpilih bagi membantu pesakit buah pinggang di negeri itu.
“Kita boleh tambah tetapi dalam masa yang sama perlu didik orang ramai supaya menjaga kesihatan dan amalkan gaya hidup sihat. Kita perlu mencari penyelesaian dan kerajaan negeri sedang berusaha sebaik mungkin,” katanya.
Katanya, beliau berharap pembinaan bangunan perubatan dan komersial itu akan memanfaatkan pesakit buah pinggang di Sarawak yang kian meningkat.