
KUALA LUMPUR: Hampir semua negeri mengisytiharkan cuti umum esok sempena ketibaan tahun baharu dengan kebanyakan jabatan kerajaan dan syarikat swasta tidak beroperasi.
Bagaimanapun, lima daripada 14 negeri iaitu Johor, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis memilih untuk tidak mengisytiharkannya sebagai cuti umum.
Ini memandangkan lima negeri berkenaan terkait rapat dengan tradisi dan budaya, sekali gus membentuk jadual cuti umum yang berlainan dengan negeri lain.
Umpamanya di Kelantan dan Terengganu, ia tidak meraikan sambutan Tahun Baharu secara rasmi kerana negeri berkenaan lebih cenderung meraikan hari kebesaran yang terkait dengan Islam.
Cuti hujung minggu kedua-dua negeri itu juga ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu bagi memudahkan orang ramai menunaikan solat Jumaat tanpa halangan.
Begitu juga, Kedah, Johor dan Perlis yang lebih menumpukan perhatian kepada acara keagamaan dan adat resam Melayu berbanding acara bersifat universal.
Bagaimanapun, sambutan tahun baharu di beberapa bandar di lima negeri itu disambut sederhana bagi turut sama merasai malam ambang tahun baharu.