
MEKAH: Kumpulan pertama anak muda Kelantan yang terpilih mengerjakan umrah percuma tajaan syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) dilaporkan sudah selesai menunaikan umrah pertama sejurus tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Mereka yang terdiri daripada 36 lelaki dan 29 perempuan serta lima pengiring dibimbing mutawif Muhammad Zaki Ridzuan dan Ahmad Junaidi Omar.
Semalam, kumpulan itu berlepas dengan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) pada pukul 7.20 malam selepas diberi taklimat oleh Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah.
Md Daud berkata, pihaknya menawarkan tajaan pakej umrah percuma 12 hari 10 malam kepada 200 anak muda jati Kelantan menerusi program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan.

Mereka dipilih setelah berjaya mendirikan solat berjemaah di Masjid Imanul Faizin yang diasaskan Ibrahim selama 30 hari tanpa gagal melibatkan 90 waktu solat iaitu Maghrib, Isyak dan Subuh.

Beliau berkata, jika sebelum ini Andalusia memberi peluang kepada golongan asnaf tetapi kali ini melibatkan remaja bagi menarik golongan belia yang berasal dari Kelantan untuk mengimarahkan masjid Imanul Faizin.
“Program itu sebagai satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk mendekatkan anak muda kepada Islam, sekali gus menyediakan golongan belia dalam mendalami asas kerohanian serta ilmu fardhu ain sebelum ke Tanah Suci,” ujarnya.

Beliau turut berharap program ini menjadi titik perubahan dalam kehidupan peserta dan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk terus mengimarahkan masjid.