
BANGI: Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Azalina berkata, akta yang telah diwartakan itu hanya menunggu tandatangan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bagi menentukan tarikh kuat kuasa.
“Menteri (Fahmi) akan menandatangani penguatkuasaan undang-undang tersebut. Setelah ditandatangani, ia akan berkuat kuasa supaya pihak berwajib boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi) dan Majlis Peluncuran Akademi Perundangan Negara.
Terdahulu, akta yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu itu menetapkan tiga tanggungjawab utama kepada penyedia platform media sosial iaitu memastikan keselamatan platform, melindungi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun dan mengehadkan akses kepada kandungan berbahaya.
Sementara itu, Azalina berkata, kerajaan sedang mengkaji keperluan menggubal undang-undang berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani cabaran dan ancaman teknologi itu yang semakin berkembang pesat.
Katanya, pihaknya telah menyatakan hasrat kepada Kementerian Digital bagi membincangkan usaha berkenaan.
Tambah beliau, sebuah jawatankuasa bersama antara Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan kementerian tersebut akan ditubuhkan bagi menyelaraskan undang-undang berkaitan AI.





