
PUTRAJAYA: Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Naim atau nama penuhnya, Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M Kundasamy.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berumur 17 tahun 7 bulan bagi tujuan seksual pada 19 Mei lalu kira-kira pukul 8.56 malam di Ukiyo Hotel di Petaling Jaya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin, manakala Naim diwakili peguam Datuk Amirul Ridzuan dan Mohd Irwan Sumadi.
Amirul ketika ditemui di mahkamah berkata, Naim dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan syarat tambahan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan semula kes.





