
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 (Akta 676) dikuatkuasa bermula hari ini.
Katanya, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676) kini menjadi perundangan utama yang menggariskan peruntukan substantif dan tatacara berkaitan keterangan saksi kanak-kanak.
“Sehubungan dengan itu, beberapa akta berkaitan turut dipinda bagi memastikan keseragaman dalam sistem perundangan
“Ia termasuk Akta Keterangan 1950 (Akta 56), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), Akta Sumpah dan Ikrar 1949 (Akta 1949), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) dan Akta Angkatan Tentera 1972 (Akta 77),” katanya dalam satu kenyatan.
Akta ini diluluskan di Dewan Rakyat pada 11 Julai lalu bertujuan memperkukuh perlindungan dan hak saksi kanak-kanak dalam sistem perundangan negara.
Tambah Azalina, melalui pindaan ini, kekompetenan saksi kanak-kanak untuk memberi keterangan dalam mana-mana prosiding berkaitan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 atau mana-mana kesalahan dalam Jadual kepada Akta tersebut sekiranya mangsa ialah kanak-kanak, kini akan diuruskan sepenuhnya di bawah Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.
“Ini termasuk pensabitan seseorang bagi kesalahan di bawah Akta tersebut yang boleh berasaskan keterangan saksi kanak-kanak tanpa sokongan, selaras dengan peruntukan baharu yang diperkenalkan.
Katanya lagi, kerajaan tekad memartabatkan kedudukan saksi kanak-kanak dalam sistem keadilan negara dan mengiktiraf peranan penting mereka dalam menegakkan keadilan.
Usaha ini jelasnya sejajar dengan komitmen antarabangsa Malaysia termasuk di bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak.