
SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak lelaki cemas apabila sebahagian badannya tersangkut dalam tempayan ketika mandi di sebuah pangsapuri dekat Jalan Raya Barat, Klang malam kelmarin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.30 malam.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan segera ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa adalah seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun.
“Siasatan mendapati, ibu mangsa menyedari keadaan anaknya itu sebaik mendengar anaknya menjerit meminta tolong dari dalam bilik air.
“Berdasarkan maklumat, kanak-kanak itu tersangkut di dalam tempayan selepas duduk dalam posisi mencangkung,” katanya.
Ahmad Mukhlis berkata, bomba mengambil masa 7 minit untuk mengeluarkan kanak-kanak itu dari tempayan berkenaan.
“Mangsa yang dikeluarkan oleh anggota bomba bertugas sudah diserahkan kepada keluarga dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.