
KUALA LUMPUR : Kecekapan pengurusan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam memanfaatkan ketidaktentuan pasaran antara faktor penting memastikan pulangan pelaburan kekal tinggi, hingga berjaya meningkatkan kadar dividen Simpanan Syariah pada paras 6.3 peratus
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Abu Sufian Abu Bakar berkata, strategi pelaburan yang fleksibel dan keupayaan untuk mengenal pasti peluang dalam pasaran yang tidak menentu membolehkan KWSP mengoptimumkan keuntungan, sekali gus menyumbang kadar dividen yang lebih baik untuk Simpanan Syariah.
Katanya, ini membuktikan strategi pelaburan yang mantap dan pengurusan risiko secara berkesan dapat memastikan pulangan mampan bagi pencarum, terutama bagi mereka yang memilih instrumen kewangan patuh syariah.
“Ketidaktentuan pasaran global pada tahun lalu menuntut strategi pelaburan yang lebih fleksibel dan berdaya tahan, khususnya bagi memastikan kestabilan pulangan Simpanan Syariah.
“Dalam menghadapi cabaran ini, pendekatan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang diterapkan KWSP memainkan peranan penting dalam mengimbangi risiko dan pulangan, memastikan kestabilan jangka panjang portfolio pelaburan serta dividen yang mampan kepada pencarum,” katanya ketika dihubungi Ceritera.
Semalam, KWSP mengumumkan kadar dividen 2024 yang lebih tinggi iaitu 6.3 peratus bagi kedua-dua jenis simpanan, Konvensional dan Syariah.
Kadar dividen bagi simpanan Konvensional adalah daripada jumlah agihan sebanyak RM63.05 billion manakala bagi simpanan Syariah, membabitkan agihan berjumlah RM10.19 billion, menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.24 bilion.
Tambah Abu Sufian, dasar kerajaan yang progresif di bawah inisiatif Ekonomi Madani dan Belanjawan 2024 juga memainkan peranan penting dalam menarik lebih banyak pelaburan asing dan domestik.
“Peningkatan pelaburan ini membolehkan KWSP menyusun strategi portfolio dengan lebih berkesan, khususnya bagi memastikan pulangan Simpanan Syariah kekal berdaya saing,” ujarnya.
Sementara Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),
Dr. Mohammad Noorizzuddin Nooh berkata peningkatan dividen itu membuktikan kepercayaan orang ramai terhadap terhadap akaun syariah meningkat.
“Apabila orang ramai melihat pulangan yang baik, mereka mungkin lebih terdorong untuk memilih pelaburan syariah, yang seterusnya dapat memperluas pangkalan pelanggan KWSP,” katanya.
Dalam masa sama beliau juga menyatakan kenaikan dividin ini juga boleh dilihat sebagai hasil daripada diversifikasi pelaburan yang bijak di dalam aset-aset yang tidak hanya menguntungkan tetapi juga selaras dengan nilai-nilai syariah.
“Ini menunjukkan KWSP mampu mengadaptasi dan mencari peluang pelaburan yang lebih baik walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar,” jelasnya.