
KUALA LUMPUR: Pendidikan dan kesedaran mengenai keburukan dan bahaya judi dalam talian perlu sentiasa disampaikan kepada masyarakat supaya ‘dakyah’ itu terus diingati dan difahami oleh semua pihak.
Hal ini kerana, terbukti kegiatan judi, sama ada melalui kaedah konvensional mahu pun secara dalam talian sentiasa menyebabkan pelaku terjerat dengan masalah kewangan yang serius yang akhirnya menjejaskan kehidupan.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Kerja Keselamatan, Amanah dan Privasi, Malaysian Technical Standard Forum Berhad (MTFSB), Prof. Dr. Shahrulniza Musa berkata, kempen kesedaran tentang bahaya judi perlu dipergiatkan dalam komuniti dan sekolah.
Katanya, keburukan judi perlu diterapkan dalam masyarakat dari usia yang muda supaya kegiatan itu tidak terus berkembang.
“Memang orang akan cakap kempen kesedaran itu sebagai Langkah ‘lapuk’ namun, melalui penyampaian berterusan, kempen itu boleh membantu masyarakat menilai Tindakan mereka, sama ada mahu terlibat dengan judi atau tidak.
“Seperti yang saya cakap sebelum ini, masyarakat kita tahu tentang keburukan judi, namun mereka masih ingin mencuba disebabkan percaya mereka akan mendapat nasib baik.
“Namun, mereka tidak sedar mengenai jumlah duit yang dilaburkan itu untuk ‘mengejar nasib baik’ yang diperkatakan.
“Jadi, kempen dan Pendidikan berterusan ini diperlukan supaya generasi ke generasi tahu tentang keburukan judi,” katanya kepada Ceritera.
Sebelum ini, media melaporkan, sebanyak 5,026 laman sesawang judi disekat dan 224,403 kandungan perjudian di platform media sosial juga turut diturunkan sehingga 1 Februari lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah di ambil bagi memastikan ekosistem rangkaian internet lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna.
Katanya, perkara itu selaras dengan usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Januari lalu.
“Langkah ini bertujuan memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang berdaftar mematuhi obligasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang diterbitkan oleh MCMC dan seterusnya meningkatkan akauntabiliti terhadap kandungan dan interaksi dalam talian yang disediakan kepada pengguna,” katanya pada ketika menjawab soalan pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Shahrulniza berkata, selain kempen dan pendidikan berterusan, masyarakat juga boleh memainkan peranan menerusi tindakan kendiri, iaitu mereka boleh melporkan laman web yang mencurigakan kepada MCMC.
“Pemantauan daripada masyarakat juga memainkan peranan penting jika kita serius mahu membanteras kegiatan judi secara besar-besaran.
“Tapi kekangan seperti bimbang jika mereka diancam pihak berkepentingan kalau membuat laporan menyebabkan masyarakat mengambil pendirian lebih baik berdiam diri,” ujarnya.
Sementara itu, Shahrulniza juga menyatakan kerajaan boleh menggubal undang-undang yang lebih ketat termasuk meningkatkan jumlah denda kepada mana-mana penyedia yang ingkar.
Katanya, kerjasama di peringkat antarabangsa turut membantu pihak berkuasa negara memantau kegiatan judi rentas sempadan berikutan banyak laman web judi berkenaan dari luar negara.