
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat baru-baru ini boleh mendidik masyarakat supaya tidk terpengaruh dengan kandungan jelik atau bersifat fitnah dan penipuan.
Pensyarah Kanan dalam bidang komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Syed Agil Alsagoff berkata, menerusi perundangan itu, ia akan mendidik masyarakat supaya lebih matang mendepani impak arus teknologi media yang pantas berkembang.
Katanya, ia juga dapat membentuk masyarakat menjadi golongan yang prihatin terhadap gejala buruk media yang boleh merosakkan psikolgi dan peradaban rakyat.
“Penubuhan Majlis Media Kebangsaan dilihat memberikan nafas baru kepada industri media untuk mengemudi hala tuju bidang itu dan memperkasa peranan media dengan lebih efektif kepada masyarakat.
“Ia juga akan memberikan manfaat kepada pengguna media di Malaysia sebab mereka akan dilindungi oleh peraturan-peraturan media yang akan mengawal dan menentukan cita rasa mereka, khususnya generasi siber di negara ini,” katanya kepada Ceritera.
RUU Majlis Media Malaysia itu diluluskan selepas 50 tahun ia dibincangkan dan bertujuan menubuhkan badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamal media itu mendapat sokongan majoriti selepas dibahas 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
RUU MMM 2024 yang mengandungi 23 Fasal itu dibentangkan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching untuk bacaan kali pertama pada 12 Disember tahun lalu.
Dalam pada itu, Syed Agil berkata, cadangan penubuhan Majlis Media Kebangsaan ini diharap dapat menaikkan martabat industry media di negara ini untuk berfungsi dengan lebih baik, menyalurkan maklumat berita lebih berobjektif dan berintegrasi.
Katanya, pelaksanaan institusi ini juga akan memperlihat media arus perdana menyaingi penguasaan media alternatif yang menggunakan platform media sosial untuk mempengaruhi minda pengguna media.
“Sudah pasti pihak pengurusan media berasa lega apabila kerajaan bertindak untuk memberi kebebasan kepada media memainkan peranan lebih besar yang berpuluh tahun diimpiankan mereka.
“Beberapa cabaran dan pendekatan harus diambil kira bagi memastikan RUU itu berkesan secara menyeluruh, selain menjamin kebebasan media.
“Antaranya ialah menggalakkan lebih penglibatan masyarakat dalam kempen memilih kandungan media yang berfaedah, menyalurkan maklumat yang tepat menerusi saluran media, mengiktiraf pengguna media dalam kalangan generasi muda, menggalakkan lebih banyak kandungan tempatan yang beri penekanan kepada keharmonian negara,” jelasnya.
Justeru itu kata beliau, usaha kerajaan untuk menubuhkan Majlis Media Kebangsaan haruslah mengambil pendekatan yang boleh memperkasakan industri media.