
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung kasih titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang meminta semua pihak tidak berterusan membahaskan soal Titah Adendum.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dizahirkan Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
“Kita semua sedia maklum tuanku telah bertitah supaya isu Titah Adendum yang sekarang dibawah proses undang-undang perlu dihormati dan tuanku telah meminta semua pihak tidak berterusan membahaskan soal Titah Adendum ini.
“Kerajaan menjunjung kasih titah tuanku dan insya-Allah akan dari segi pelaksanaan dan juga perkara-perkara berkaitan, insya-Allah kerajaan akan teruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan di sini.
Terdahulu, menerusi satu kenyataan, Al-Sultan Abdullah bertitah meminta semua pihak tidak berterusan membahaskan soal Titah Addendum.
Baginda menegaskan Titah Adendum berkenaan telah berada di bawah proses undang-undang dan semua pihak perlu menghormatinya.
Tambah Fahmi, baginda telah bertitah dan beliau percaya semua pihak akan menghormati titah tersebut, selain menyerahkan perkara itu kepada proses mahkamah.