
KUALA LUMPUR : “Masalah utama perjudian dalam talian adalah disebabkan ketagihan judi.”
Itu tegas Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim yang menyebabkan aktiviti jenayah ini sukar dibendung.
Sedangkan katanya, kerajaan telah pun berusaha sebaik mungkin dalam melarang atau menyekat laman-laman sosial berkait judi.
“Isu utama dalam judi bukanlah akses dalam talian atau premis judi. Intipati sebenar masalah ini adalah ketagihan judi.”
“Ketagihan sedemikian mendorong seseorang untuk mengekalkan tabiat tersebut sepertimana juga mereka yang mendepani isu seperti dadah, alkohol mahupun seks,” katanya ketika dihubungi Ceritera baru-baru ini.
Sejak 2022 hingga 1 Februari lalu, sebanyak 5,026 laman judi telah disekat sementara 224,403 kandungan berkaitan judi diturunkan.
Perlesenan media sosial yang diwajibkan bermula 1 Januari lalu antara lain meningkatkan akauntabiliti terhadap kandungan dalam talian sekali gus mengekang aktiviti judi haram.
Tambah Kamal Affandi, jenayah itu akan terus berlaku sekiranya pinjaman yang dilakukan secara dalam talian tidak diatasi secara menyeluruh yang diibaratkan sebagai api dalam sekam.
“Ini kerana kegiatan ini berpontensi menyebabkan usaha mulia kerajaan sedikit terjejas,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kesediaan masyarakat menyampaikan maklumat berkaitan judi dapat membantu kerajaan membanteras jenayah ini.
” Kesediaan masyarakat menyampaikan maklumat berkaitan premis judi, jika diteruskan dengan melapor juga iklan-iklan tawaran pinjaman haram, sebenarnya perlu digalakkan bagi membantu melengkapkan usaha yang dibuat Kerajaan.
“Barangkali sudah tiba masa Kementerian Kesihatan menimbang untuk mewujudkan Pusat Merawat Ketagihan dan juga sistem sokongan seperti terapi kelompok serta talian hotline bagi membantu kendalian isu ketagihan dalam masyarakat,” ujarnya.