
PUTRAJAYA: Enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang sebelum ini dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan selepas menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu terlepas hukuman berkenaan.
Sebaliknya, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun itu mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini, bermula dari tarikh tangkap pada 1 Jun 2017.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menerima rayuan akhir terhadap sabitan dan hukuman mati ke atas semua perayu atas keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Julai tahun lalu.
Enam bekas pelajar berkenaan selaku perayu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali yang semuanya berusia 29 tahun.
Hasnah dalam penghakimannya berkata, keterangan perayu pertama hingga kelima dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menekap seterika wap kepada badan mangsa dibuktikan dengan keterangan langsung daripada SP24 (Saksi Pendakwaan ke-24) Ahmad Senabil Mohamad dan SP25 Mohd Syafiq Abdullah.
“Hakim bicara juga menegaskan bahawa SP24 dan SP25 ialah saksi boleh dipercayai, walaupun tidak ditentukan berapa kecederaan yang dilakukan oleh setiap perayu atau terdapat perayu yang hanya menyebabkan satu kecederaan tekapan seterika wap terhadap mangsa, peruntukan niat bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan dalam kes ini membolehkan perayu-perayu disabitkan dengan kesalahan Seksyen 302 kanun sama,” katanya hari ini.
Menurutnya, elemen pertama dan kedua bagi pemakaian Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan (KK) berjaya dibuktikan pendakwaan bagi kesalahan membunuh itu juga elemen penting seterusnya sama ada kecederaan dialami mangsa lazimnya menyebabkan kematian.
Namun, dalam ke ini keterangan SP6 Dr Salmah Arshad (ahli patologi dan pakar forensik Hospital Serdang) yang menjalankan bedah siasat terhadap mangsa bersetuju dengan pertanyaan pendakwa raya bahawa luka bakar atau kesan lecur pada mangsa pada lazimnya menyebabkan kematian.
“Dalam membuat sesuatu dapatan, fakta mahkamah perlu meneliti keseluruhan keterangan SP6 dan keterangan lain mengenai isu kecederaan pada lazimnya menyebabkan kematian ini telah dibuktikan atau sebaliknya.
“Walaupun perkara ini adalah dapatan fakta yang perlu dibuat oleh hakim bicara, tetapi keterangan pakar amat perlu disandarkan dan diberikan pertimbangan,” katanya.
Pada asasnya SP6 mendapati 90 luka bakar yang terdiri daripada kesan lecuran tahap satu hingga tiga yang meliputi 80 peratus badan mangsa, seperti dinyatakan terdahulu, SP6 juga bersetuju kesan lecur ini lazimnya menyebabkan kematian.
“Pada asasnya SP6 bersetuju bahawa luka bakar yang meliputi 80 peratus badan mangsa, lazimnya menyebabkan kematian, namun ketika disoal balas oleh peguam, saksi bersetuju bahawa luka bakar tahap tiga itu tidak secara automatik mengakibatkan kematian,” katanya.
Hasnah selanjutnya memetik keterangan Dr. Salmah (ketika disoal balas) yang bersetuju bahawa berdasarkan luka bakar yang dialami Zulfarhan tidak semestinya akan menyebabkan kematian jika dirawat secukupnya.
SP6 mengubah pernyataannya ketika disoal peguam dengan menyatakan kesan kebakaran 30 dan 50 peratus boleh menyebabkan kematian tetapi tidak semestinya mengakibatkan mangsa meninggal dunia.
Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap semua enam bekas pelajar berkenaan, selepas mendapati mereka bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuhnya.
Namun pada Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut UPNM itu yang sebulat suara diputuskan s panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi mengekalkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan.
Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.