
PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menyerahkan jawatankuasa fatwa dan majlis agama islam setiap negeri untuk penetapan semula kadar zakat fitrah.
Hal ini ekoran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebelum ini mendedahkan sekitar 40 hingga 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).
Katanya, perkara itu akan dipertimbangkan, namun bukan dalam masa terdekat.
“Penetapan semula kadar zakat fitrah berdasarkan gred beras yang dimakan umat Islam diserahkan kepada kebijaksanaan jawatankuasa fatwa dan majlis agama islam setiap negeri selepas wujudnya isu campuran beras.
“Sekiranya perkara ini telah terbukti, ia boleh dikaji dan dipertimbangkan semula, namun bukan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah The Malaysia Book of Records, Ayam Gepuk Pak Gembus di sini, semalam.
Tambahnya, buat ketika ini, kadar zakat fitrah yang ditetapkan berdasarkan keputusan fatwa terdahulu dan ia kekal pada kadar RM7, RM15 dan RM22 berdasarkan gred beras.
“Penetapan kadar fitrah dibuat berdasarkan harga beras pada waktu fatwa itu dikeluarkan. Jika ada keperluan untuk kaji semula, perkara ini akan dibawa ke perbincangan jawatankuasa fatwa dan majlis agama islam negeri-negeri,” jelasnya