
KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan seramai 1 juta penyertaan melalui 70,000 kursus latihan percuma dan 1,000 aktiviti berimpak tinggi bernilai lebih RM750 juta sempena penganjuran National Training Week (NTW) 2025 yang membuka tirai pada 14 hingga 21 Jun ini di seluruh negara.
Diterajui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di bawah naungan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), NTW 2025 memasuki tahun ketiga dalam memperkasakan individu dan organisasi melalui usaha pembangunan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hajat.
Menteri KESUMA, Steven Sim Chee Keong berkata, kejayaan HRD Corp dalam menganjurkan NTW amat membanggakan apabila ia boleh dikatakan sebagai karnival pembelajaran terbesar di dunia.

“Berdasarkan pencapaian cemerlang NTW pada tahun lepas, saya mengarahkan HRD Corp pada tahun ini agar sasaran penyertaan dinaikkan kepada 1 juta manakala sasaran kursus dan latihan yang ditawarkan pula ditingkatkan kepada 70,000 dengan nilai RM750 juta.
“Sekiranya tercapai, ia akan mengukuhkan kedudukan kita sebagai hub pembelajaran sepanjang hayat terbesar di seluruh rantau ini,” katanya ketika berucap melancarkan NTW 2025 di sini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusoff; Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood dan Ketua Pegawai Program HRD Corp, Soffian Amin.
Sementara itu, Soffian yang juga Pengerusi NTW 2025 berkata, NTW telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia mempunyai keinginan yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan.
“Kita akan meneruskan misi kita di peringkat ASEAN dan berharap akan dapat menyebarkan ‘virus’ (pembelajaran sepanjang hayat) ini ke seluruh rantau.
“HRD Corp juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan kongsi NTW yang kebanyakannya telah menyokong inisiatif ini sejak tahun pertama lagi,” ujarnya.
NTW 2025 akan menampilkan beberapa program utama termasuk Forum Menteri, yang mana penggubal dasar dan pemimpin industri akan membincangkan strategi untuk transformasi tenaga kerja; Program Inklusi Neurodiversiti, bertujuan memperkasakan individu ‘neurodivergent’ dengan kemahiran kebolehpasaran; program peningkatan PKS; program industri berimpak tinggi dan banyak lagi.
Selain itu, aktiviti utama menawarkan pelbagai program latihan, inisiatif peningkatan kemahiran, dan sesi perkongsian ilmu dalam format fizikal dan maya.
HRD Corp mengalu-alukan majikan, penyedia latihan dan individu untuk menyertai agenda nasional ini sebagai rakan strategik dan rakan kolaborator NTW 2025.
Pihak yang berminat boleh menghubungi HRD Corp melalui emel di taskforce@nationaltrainingweek.gov.my atau mendapatkan maklumat lanjut di laman web rasmi NTW di https://www.nationaltrainingweek.gov.my/.







