
KUALA LUMPUR: “Dewan Bahasa Pustaka (DBP) akan sentiasa siap siaga bagi menyediakan prasarana berkaitan peristilahan, khususnya dalam bidang undang-undang.”
Itu jaminan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan apabila sistem penyampaian dapat dilakukan dengan baik dan berkesan tanpa dwistandard.
Kata Fadhlina, usaha tersebut termasuk memberik kursus bahasa dan melaksanakan program seperti pertandingan debat serta pidato bagi memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan kepada pengamal undang-undang.
“Usaha murni ini amat penting kerana kita tidak mahu akses berkaitan undang-undang bersifat dwistandard, khususnya yang berkaitan dengan sistem penyampaian, sehingga keadilan tidak dapat ditegakkan bagi menjamin hak dan keharmonian rakyat Malaysia yang penuh kerencaman ini,” katanya.
Teks ucapan beliau dibaca Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Anwar Ridhwan pada perasmian Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan Dalam Bidang Undang-Undang di Wisma DBP di sini, hari ini.
Tambah beliau, Kementerian Pendidikan dan agensi di bawahnya, khususnya DBP akan sentiasa bersedia menyokong dan mendukung pemerkasaan bahasa kebangsaan dalam bidang undang-undang dan keseluruhan ranah di negara ini.