
KUALA LUMPUR: Kegiatan jenayah siber seperti judi dalam talian masih membelenggu masyarakat hari ini biarpun pelbagai tindakan pembanterasan dilakukan pihak berkuasa.
Biarpun tidak dapat melumpuhkan operasi itu secara menyeluruh, menerusi pemantauan dan Tindakan tegas, sebanyak 5,026 laman web judi disekat dengan 224,403 kandungan berkaitan diturukan sejak 2022 sehingga 1 Februari tahun ini.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Kerja Keselamatan, Amanah dan Privasi, Malaysian Technical Standard Forum Berhad (MTFSB), Prof. Dr. Shahrulniza Musa berkata, penggunaan teknologi seperti ‘proxy’ dan ‘VPN’ oleh pengguna untuk melayari laman web judi luar negara menjadikan pihak berkuasa sukar mengawal kegiatan tersebut.
Katanya, untuk memantau ribuan laman web dan aplikasi judi setiap hari juga menjadi antara cabaran terbesar kerana ia memerlkan kepakaran an sumber.
“Kita memerlukan peralatan dan teknologi yang canggih dalam membantu pihak berkuasa memantau kegiatan judi dalam talian. Hal ini kerana, teknologi ini sering berubah mengikut keadaan semasa.
“Jika hari ini laman web itu disekat, esok wujud pula satu lagi laman web judi, jadi sentiasa ada dan hal itu yang menyukarkan kegiatan tidak bermoral itu dibendung sepenuhya,” katanya kepada Ceritera.
Sebelum ini, media melaporkan, sebanyak 5,026 laman sesawang judi disekat dan 224,403 kandungan perjudian di platform media sosial juga turut diturunkan sehingga 1 Februari lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah di ambil bagi memastikan ekosistem rangkaian internet lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna.
Katanya, perkara itu selaras dengan usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Januari lalu.
“Langkah ini bertujuan memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang berdaftar mematuhi obligasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang diterbitkan oleh MCMC dan seterusnya meningkatkan akauntabiliti terhadap kandungan dan interaksi dalam talian yang disediakan kepada pengguna,” katanya pada ketika menjawab soalan pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Shahrulniza memberitahu, di sebalik usaha pihak berkuasa membanteras kegiatan judi dalam talian, tahap kesedaran masyarakat juga memainkan peranan pentin.
Katanya, tanpa kesedaran tinggi bahawa kegiatan itu adalah salah di sisi undang-undang, usaha pihak berkuasa tidak boleh berkesan sepenuhnya.
“Kadang-kadang, bukan mereka (masyarakat) tidak tahu bahawa judi dalam talian itu salah, namun sengaja buat tidak endah kerana sudah jadi kebiasaan, kononnya boleh mendatangkan keuntungan.
“Mereka tidak fikir duit yang dihabiskan untuk capai kemenangan atau keuntungan itu, jadi perlu tingkatkan kesedaran masyarakat supaya mereka tahu, judi dalam talian itu tidak mendatangkan kebaikan.
“Selagi ada permintaan, pasti akan sentiasa ad laman web judi ini,” ujarnya.






