
KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. mengekalkan momentum apabila mencatat lebih 51,000 jemaah berdaftar bagi musim umrah 1447H, sekali gus mengukuhkan laluan ke arah mencapai sasaran 80,000 jemaah.
Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, perkembangan itu merupakan peningkatan konsisten sejak tiga tahun lalu hasil kematangan sistem operasi, pengukuhan tenaga kerja serta strategi pemasaran yang lebih tersusun.

Katanya, sasaran 80,000 jemaah ditetapkan sejurus pascapandemik, namun masih belum dicapai sepenuhnya kerana syarikat terus menambah baik keupayaan bagi memastikan lebih ramai jemaah dapat dilayani dengan sempurna.
“Setakat ini, lebih 51,000 jemaah sudah berdaftar dan dijadualkan berlepas sehingga April 2026. Melihat kepada perkembangan semasa, kami yakin sasaran 80,000 jemaah mampu direalisasikan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran Andalusia Sempena 50,000 Jemaah Berdaftar 1447H di Auditorium Andalusia, hari ini.
Ida Riswana berkata, Andalusia komited terhadap integriti, ketelusan dan rekod perkhidmatan yang diyakini ramai, terutama ketika pasaran umrah dibelenggu aduan penipuan pakej oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, Andalusia memiliki kemudahan serta kapasiti mencukupi untuk mengendalikan sehingga 80,000 jemaah setiap musim selain memastikan mereka menerima layanan menyeluruh sepanjang perjalanan sehingga pulang ke tanah air.
“Bagi mereka yang mencari pakej umrah yang terjamin, selamat dan lengkap, Andalusia sentiasa bersedia memberikan khidmat terbaik,” katanya.







