
KUALA LUMPUR: Dua blok pangsapuri melibatkan 104 unit kediaman di Taman United, Seputeh di sini dikosongkan hari ini susulan kejadian tanah runtuh di kawasan cerun berhampiran.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.02 pagi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh bersama dua jentera dan 11 anggota digerakkan ke lokasi.
Ketua BBP Seputeh, Armdan Mahat, berkata kejadian membabitkan runtuhan cerun sepanjang 60 meter yang menghempap dua kereta dan beberapa motosikal.
“Sebuah kereta ditimbus manakala sebuah lagi tumbang. Runtuhan tanah turut memasuki kawasan pangsapuri kos rendah berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu, dua blok pangsapuri dan beberapa premis berhampiran diarahkan mengosongkan kawasan kerana masih berlaku pergerakan tanah selain hujan lebat pada ketika ini.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan bersama wakil Parlimen Seputeh dan jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menilai keadaan di lokasi.
“Setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat. Pasukan bomba masih berada di lokasi untuk memantau sebarang perkembangan pergerakan tanah,” katanya.





