
KUALA LUMPUR: Sekitar 70 peratus pengguna di Malaysia cenderung membeli produk berdasarkan harga murah tanpa mengambil kira kualiti atau tahap keselamatan terlebih dahulu.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh, berkata perbezaan ini ketara berbanding negara lain, di mana kira-kira 80 peratus pengguna lebih gemar memilih barangan berjenama.
Beliau menjelaskan antara faktor utama ialah kekurangan advokasi pengguna yang berkesan untuk mendidik masyarakat mengenai cara memilih produk yang selamat dan berkualiti.
“Hanya 30 peratus pengguna di Malaysia yang cenderung memilih barangan berkualiti dan berjenama,” tambahnya.
“Jadi kadang-kadang pengguna di Malaysia masih memilih barangan yang murah tanpa melihat kepada kualiti ataupun keselamatan dan tengok harga saja.
“Jadi ini saya kira ini juga di bawah kementerian untuk melihat kepada mendidik pengguna supaya pengguna membuat keputusan yang lebih bijak,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menekankan penjual juga perlu sentiasa memahami keperluan dan kehendak pengguna di negara ini, kerana ekosistem pasaran bukan hanya tentang persaingan semata-mata.
“Ini berkenaan kesedaran pengguna dan jika kesedaran meningkat, mungkin mereka akan membuat pilihan yang lebih bijak iaitu memilih produk yang lebih berkualiti, lebih selamat dan bukan setakat produk yang paling murah.
“Jadi ini yang kementerian akan cuba lakukan berkenaan kesedaran pengguna,” katanya.





