
SHAH ALAM: Usaha membangunkan semula kawasan perumahan lama berusia lebih tiga dekad melalui inisiatif Pembaharuan Semula Bandar (PSB) berdepan beberapa kekangan utama, khususnya melibatkan persetujuan penduduk dan kos yang semakin meningkat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memaklumkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah menilai tiga kawasan kediaman lama sejak 2015 untuk projek pembangunan semula, iaitu Pangsapuri PKNS di AU3, Pangsapuri PKNS Seksyen 17 di Petaling Jaya serta Pangsapuri PKNS Seksyen 16 di Shah Alam.
Namun, katanya, perancangan itu tidak dapat dilaksanakan kerana syarat persetujuan lebih 80 peratus penduduk—seperti digariskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)—tidak berjaya dicapai.
Beliau menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PH-Sijangkang) mengenai status pembangunan semula kawasan perumahan berusia lebih 30 tahun yang diusahakan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) Selangor pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Amirudin menjelaskan, selain isu persetujuan, beberapa faktor lain turut menghalang projek PSB termasuk tuntutan pampasan tinggi serta kesukaran mencari tapak pemindahan sementara yang sesuai.
“Kita juga perlu sediakan lokasi pemindahan sementara sebelum rumah asal diruntuhkan, selain tidak boleh arah penduduk keluar, robohkan bangunan dan hanya masukkan mereka semula dua atau tiga tahun kemudian.
“Kalau di AU3 kita nampak tapaknya, tetapi densitinya sangat tinggi kerana banyak blok perlu dibina. Di Seksyen 16 pula, bloknya terlalu banyak, jadi kita perlu cari tapak baharu terlebih dahulu sebelum memindahkan penduduk,” katanya.
Beliau menjelaskan mana-mana pemaju yang mahu menyertai projek ini perlu memiliki kekuatan kewangan yang mantap memandangkan kerja-kerja pembangunan semula memerlukan kos yang sangat tinggi antara RM100 hingga RM150 juta hanya untuk membina blok penempatan sementara dan bukan semua pihak sanggup menanggung komitmen sebesar itu.
Menurut Amirudin, kerajaan negeri masih meneliti secara menyeluruh model pelaksanaan PSB bagi memastikan inisiatif pembaharuan dapat diteruskan tanpa menekan penduduk mahupun memberi beban berlebihan kepada pemaju.
“Jika PSB tidak dilaksanakan, kediaman-kediaman lama ini akan terus usang, ditinggalkan dan tidak selamat diduduki dan ini cabaran besar kepada kita,” katanya.





