
KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali pakej haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel) menerima dua anugerah The Brandlaurate Best Brands Awards 2023-2024 dan The Brandlaureate Entreprenueur Awards 2024.
Anugerah Brandlaureate ialah penganugerahan tahunan yang memberi pengiktirafan kepada jenama cemerlang dan berdedikasi dalam penjenamaan mereka.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel, Ida Riswana Idris berkata, anugerah itu menjadi pemangkin semangat untuk Andalusia terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.

“Ia adalah satu pengiktirafan yang sangat besar, bukan sahaja untuk saya tetapi untuk seluruh keluarga besar Andalusia Travel & Tours. Kejayaan ini membuktikan yarikat kecil dan sederhana (SME) juga mampu mencipta impak besar.
“Kejayaan itu juga diperoleh daripada nilai kepercayaan, komitmen dan perkhidmatan berkualiti,” katanya kepada media selepas menerima anugerah berkenaan dalam majlis makan malam Gala dianjurkan The World Brands Foundation (TWBF) di Hotel Majestic, di sini semalam.
Selain itu, Ida Riswana turut memberitahu rancangan Andalusia Travel &Tours untuk mengembangkan operasi syarikat ke negara Asean.
“Insya Allah kami bercadang meluaskan operasi ke negara Asean serta memperkenalkan pakej yang lebih fokus kepada pelancongan sejarah Islam serta pengalaman spiritual.
“Saya turut berharap dapat mengekalkan Andalusia sebagai agensi pelancongan umrah yang dipercayai, bukan hanya di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa dan terus menjadi pemudah cara membantu umat Islam mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadah penuh makna,” katanya.
Menurut Ida Riswana, antara faktor kejayaan Andalusia Travel & Tours adalah komitmen terhadap kepercayaan pelanggan dan pihaknya memastikan amanah itu dijaga sebaiknya dengan penuh integriti.