
KUALA LUMPUR – Seramai 79 pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menamatkan Accelerated Leadership Program Series (ALPs) dengan memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).
Pengarah Urusan MCMC, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata, ALPs diadakan melalui kerjasama universiti tempatan melibatkan dua kohort terdiri daripada pegawai MCMC peringkat eksekutif junior dari pelbagai jabatan.
Beliau berkata, kohort pertama melibatkan seramai 39 pegawai MCMC menerusi kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) manakala kohort kedua 40 peserta dengan kerjasama strategik Universiti Multimedia (MMU).
“ALPs adalah wadah atau platform untuk membimbing pemimpin muda dan menerusi program ini mereka diberi peluang bercakap, buat persembahan, buat perancangan bisnes dan sebagainya.
“Dalam masa sama kita juga ada menjemput pihak industri untuk berkongsi pengalaman dan memberi pendedahan industri kepada peserta ALPs,” katanya kepada media selepas Majlis Penutup ALPs
Kohort 2 di Putrajaya hari ini.
Turut hadir, Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Presiden MMU, Prof Datuk Dr Maziham Mohd Su’ud.
Mohd Ali berkata, MCMC merancang untuk meneruskan kohort ketiga di bawah ALPs dan proses tawaran tender kepada universiti yang berminat akan dibuka dalam masa terdekat.
Sementara itu, Maziham pula berkata, menerusi ALPS, pegawai MCMC didedahkan dengan kaedah yang betul, bimbingan mentor dan kegigihan yang membolehkan seorang pemimpin menghadapi cabaran dan mengubah ia menjadi peluang untuk lebih berkembang pada masa depan.
“MMU sebagai rakan kerjasama berbesar hati kerana dapat memainkan peranan dalam melengkapkan peserta dengan pengetahuan akademik dan praktikal yang diperlukan untuk mereka berjaya dalam menghadapi landskap digital yang berkembang pesat,” katanya.
ALPs adalah program yang ditaja sepenuhnya MCMC untuk pembangunan kepimpinan khusus bagi bakat MCMC berpotensi tinggi berdasarkan Model Kecekapan Tingkah Laku dan Ciri Kepimpinan Digital.