
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat (FOI) akan dibentangkan di Parlimen dalam persidangan depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) bersetuju membentangkan RUU tersebut pada tahun depan.
Katanya, pembentangan tersebut bagi meningkatkan ketelusan dalam perkhidmatan awam dengan memastikan hak individu untuk akses kepada maklumat di bawah bidang kuasa kerajaan terjamin dan terpelihara di sisi undang-undang.
Jelas perdana menteri, mesyuarat yang dipengerusikan beliau itu turut mengambil maklum tentang penubuhan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
“Langkah ini diambil untuk menambah baik imej dan persepsi negara berhubung tatakelola baik sektor awam di peringkat antarabangsa, khususnya dalam kalangan pelabur asing.
“Adalah menjadi tekad kerajaan untuk sentiasa memperkukuh agenda tatakelola negara, mempertingkat integriti dan memerangi rasuah selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya melalui Facebook, hari ini.
Pada 29 Ogos lalu, media melaporkan keputusan mengenai penggubalan FOI mencerminkan ketelusan Kerajaan Perpaduan yang berpegang kepada asas bahawa setiap rakyat harus diberikan hak untuk mencari, menerima dan memberikan maklumat melalui apa jua medium atau platform.
Mengikut piawaian antarabangsa iaitu Resolusi 59 Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu 1946, kebebasan maklumat ditafsir sebagai hak akses yang diberikan kepada orang awam bagi mendapatkan maklumat milik badan awam atau kerajaan dan merupakan sebahagian daripada hak asasi untuk bersuara.