
KUALA LUMPUR: Ketibaan bulan Ramadan tidak pernah berlaku secara mengejut kerana ia hadir tepat pada masanya setiap tahun, namun persoalan yang lebih besar ialah sejauh mana umat Islam benar-benar bersedia untuk menghadapinya.
Wakil Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. berkata, persiapan Ramadan seharusnya dilihat sebagai satu perjalanan rohani yang bermula lebih awal, bukan sekadar persiapan di saat akhir.
Katanya, sebahagian masyarakat cenderung memberi tumpuan kepada penyusunan jadual berbuka puasa, kunjungan ke bazar Ramadan dan perancangan cuti, sedangkan persiapan hati serta pembentukan niat sering terpinggir.
“Hakikatnya, niat yang betul menjadi asas kepada Ramadan yang lebih bermakna dan seterusnya menentukan kualiti ibadah sepanjang bulan yang mulia ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya merupakan satu perjalanan jiwa yang mendidik disiplin, kesabaran serta kebergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT.
“Seumpama perjalanan ibadah umrah, persediaan yang rapi membolehkan ibadah dilaksanakan dengan lebih fokus, tenang dan khusyuk, berbanding ibadah yang dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya.
Mengulas kepentingan persiapan awal, beliau menegaskan langkah itu penting bagi memastikan Ramadan tidak berlalu sebagai rutin tahunan semata-mata, sebaliknya benar-benar dihayati dari sudut rohani.
Katanya, persediaan menyeluruh membolehkan umat Islam ‘hadir’ secara spiritual, sekali gus merasai hikmah dan kemanisan Ramadan dengan lebih mendalam.
Seiring peranannya sebagai pengendali perjalanan ibadah, Andalusia turut menekankan pendekatan membantu jemaah memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah tanpa dibebani urusan teknikal, selari dengan konsep persiapan Ramadan yang holistik.

“Impian menunaikan ibadah di Mekah dan Madinah, khususnya pada bulan Ramadan, bermula dengan niat yang jelas serta persediaan rapi berteraskan keikhlasan dan kesungguhan,” katanya.
Ujarnya, Ramadan tidak menunggu seseorang berada dalam keadaan lapang, justeru persediaan awal akan membuka ruang kepada perubahan diri dan keberkatan yang lebih bermakna.
“Umat Islam disaran untuk mula melangkah dari sekarang dengan satu persoalan utama iaitu siapakah diri kita selepas Ramadan berlalu,” katanya.







