
KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours berbesar hati mengumumkan hasrat untuk menaja lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) mental bersama isteri dan anak lelaki mereka menunaikan umrah.
Pengumuman itu dibuat menerusi hantaran dalam Facebook rasmi syarikat berkenaan.
Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin berkata, mereka simpati dengan nasib yang menimpa keluarga Ahmad Nor Al Faizan Jusoh selepas dia menjadi mangsa pukul beramai-ramai akibat satu insiden di si pasar tani di Kemaman, Terengganu baru-baru ini.
“Kami di Andalusia berbesar hati untuk menaja ibadah umrah buat keluarga Ahmad Nor, termasuk isteri dan anak lelakinya.
“Andalusi akan menaja semua kos perbelanjaan sepanjang mereka berada di Tanah Suci,” katanya.
Wakil Andalusia juga membuat kunjungan ke rumah keluarga berkenaan bagi menyampaikan berita baik tersebut.
Ketika dimaklumkan berita tersebut, isteri lelaki berkenaan, Faridah Abdul Karim berasa terkejut dan terharu.
Kata mereka, insiden yang berlaku ada hikmahnya apabila mereka didoakan dengan perkara-perkara yang baik.
“Alhamdulillah, terima kasih tak terhingga kepada Andalusia kerana beri peluang kepada kami untuk jejak kaki ke Tanah Suci. Ada hikmah semua ini berlaku, kami dikelilingi, dipertemukan dengan orang-orang yang baik hati.
“Kami mendoakan supaya Andalusia terus maju dan dapat membantu ramai lagi orang Islam,” kata Faridah.
Terdahulu, tular video dalam media sosial memaparkan seorang lelaki OKU dipukul di pasar tani. Kejadian dilaporkan berpunca daripada mangsa yang menunggang motosikal secara tidak sengaja melanggar sebuah gerai di pasar tani tersebut.
Setakat ini seramai 6 orang suspek sudah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.