
KUALA LUMPUR: Sempena pelaksanaan gaji minimum yang bakal bermula pada 1 Februari ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan bantuan secara berterusan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencapai matlamat syarikat
Timbalan Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan berkata inisiatif itu termasuk latihan pengurusan kewangan bagi membolehkan PKS menguruskan kos secara efektif dan melakukan
penjimatan.
“Kenaikan gaji minimum adalah satu langkah untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan memberi peluang kepada pekerja untuk mendapat gaji yang boleh menambah baik kehidupan harian.
“Ketersediaan dalam kalangan PKS adalah sederhana buat masa ini tetapi KUSKOP menyediakan banyak bantuan untuk memudahkan proses ini,” katanya kepada media selepas Persidangan Daya Tahan dan Pertumbuhan PKS Malaysia 2025, hari ini.
Tambah Ramanan, sebanyak 1.1 juta PKS berperanan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Kerajaan memberikan penekanan yang tinggi terhadap PKS dan mereka perlu mengambil peranan yang lebih besar.
“Hampir RM40 bilion diumumkan dalam Belanjawan 2025 untuk menyokong pembangunan dan perkembangan PKS serta membantu mereka meneroka pasaran antarabangsa,” katanya.
Pada majlis itu juga, beliau berkongsi berkaitan pasaran Uzbekistan untuk diterokai PKS.
“Uzbekistan, sebuah negara majoriti Islam yang memiliki kira-kira 400,000 PKS, berpotensi untuk dijadikan rakan kerjasama.
“Jika kita dapat memasarkan produk halal kita seperti kosmetik, makanan dan pelancongan, kita berpotensi untuk memasuki pasaran tersebut. Ia merupakan peluang yang sangat
besar,” katanya.