
PUTRAJAYA: ‘Saya boleh guna selagi saya menjadi Perdana Menteri, tetapi selepas itu kena serah balik kepada negara’.
Itu kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenderaan elektrik (EV) yang dihadiahkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan kepadanya.
Kenderaan berjenama TOGG keluaran Turkiye itu diterima Anwar baru-baru ini sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata, beliau sempat menggunakan kenderaan itu meninjau persiapan menyambut kehadiran Presiden Turkiye terbabit sempena lawatan rasminya ke Malaysia selama dua hari.
“Semalam, saya kebetulan cuba mobil EV yang dihadiahkan oleh Presiden Turkiye. Beliau hadiahkan kepada Perdana Menteri, tapi bagi saya kepada negara, ia bukan hak saya,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia memanfaatkan peluang sebagai Pengerusi ASEAN untuk membuktikan kecekapan penjawat awam dalam mengurus ratusan program secara berkesan.
Katanya, pengurusan ASEAN bukan hanya mengenai kedudukan atau kebanggaan, sebaliknya mencerminkan kemampuan penjawat awam memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.
“Ini tentunya memerlukan penugasan yang lebih daripada biasa. Tahap persiapan kita bagi acara itu di antara yang terbaik yang saya saksikan.
“Walaupun tidak semewah beberapa negara, tetapi tahap kecakapan, disiplin dan kerapian itu sangat membanggakan,” katanya.