
KUALA LUMPUR : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar memberitahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama lebih giat bersama Kementerian Perpaduan untuk menganjurkan program-program Dialog Harmoni yang mempromosikan perpaduan dalam negara.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Mohd Na’im memberitahu, langkah ini selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu.
Katanya, platform Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama akan digunakan untuk memperkukuhkan keharmonian dan interaksi antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam.
“Patik merafaj sembah dan menjunjung titiah Sultan Selangor berkaitan isu cadandan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri perayaan orang bukan Islam,” kata kenyataan itu,
Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan garis panduan khusus bagi umat Islam menghadiri perayaan penganut agama lain terutama di negeri ini.
Baginda bertitah, al-Quran dan sunnah adalah garis panduan terbaik dengan pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak timbul isu terpesong akidah umat Islam kerana yakin mereka memahami batas-batas akidah selain bijak menilai sesuatu tindakan.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Na’im memberitahu usaha menoktahkan miskin tegar di Wilayah Persekutuan perlu diperkukuh melalui pelaksanaan skim bantuan kerajaan menyasarkan golongan yang benar-benar memerlukan.
Katanya, perkara itu antara mesej utama ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM)
pada Majlis Perjumpaan bagi bulan Februari 2025 di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya pagi ini.
“Setiap agensi perlu meningkatkan kualiti kerja, menjaga tatakelola serta memastikan kecekapan dalam pelaksanaan tugas
dalam ruang lingkup agensi masing-masing,” katanya juga dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diberi tanggungjawab mempergiat usaha menoktahkan kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan, selaras dengan komitmen Anwar dalam agenda nasional pembasmian kemiskinan tegar.