KUALA LUMPUR: Jeneral Datuk Azhan Md Othman dilantik secara rasmi sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) ke-31 berkuat kuasa 1 Januari 2026, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Pelantikan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631, manakala Majlis Pemakaian Pangkat disempurnakan di Wisma Pertahanan, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin dan disaksikan Pemangku Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat Malaysia dalam kenyataan memaklumkan pengalaman luas serta kepimpinan Azhan diyakini mampu memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan Tentera Darat sebagai teras pertahanan negara.
Dalam pada itu, Azhan menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong serta Kerajaan Malaysia atas kepercayaan yang diberikan, selain menyeru seluruh warga Tentera Darat agar terus bersatu dan mengekalkan profesionalisme pasukan.
Pelantikan Azhan bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan yang kini diarahkan bercuti bagi membolehkan proses siasatan pihak berkuasa dijalankan terhadap dakwaan yang dilaporkan melibatkan beliau.
