
KUALA LUMPUR: Batik Air membatalkan semua penerbangan terus Kuala Lumpur dan Jakarta hari ini susulan letusan berterusan Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda, Indonesia.
Syarikat penerbangan itu memaklumkan, keputusan tersebut dibuat selepas penilaian operasi terkini dijalankan bagi memastikan keselamatan penumpang, kru dan operasi penerbangan.
Menurutnya, syarikat itu terus memantau perkembangan semasa dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa penerbangan serta pengendali lapangan terbang sebelum memutuskan pembatalan berkenaan.
“Aktiviti Gunung Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Pulau Jawa dan Sumatera menyebabkan kehadiran abu vulkanik di ruang udara yang boleh menjejaskan jarak penglihatan, mengganggu sistem navigasi pesawat serta menjejaskan prestasi enjin,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, sebanyak lapan penerbangan berjadual antara Malaysia dan Jakarta terjejas akibat perkembangan berkenaan.
Penerbangan yang dibatalkan ialah OD398, OD399, OD346, OD347, OD388, OD389, OD390 dan OD391.
“Daripada jumlah itu, enam penerbangan melibatkan laluan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Jakarta.
“Dua lagi penerbangan yang terpaksa dibatalkan adalah perkhidmatan antara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan Jakarta,” menurutnya.
Menurut Batik Air, penumpang yang terkesan boleh menukar jadual perjalanan mereka kepada penerbangan syarikat itu yang berikutnya, namun tertakluk kepada kekosongan tempat.
Selain itu, penumpang turut diberi pilihan memohon bayaran balik bagi tiket penerbangan yang terjejas.
Syarikat penerbangan itu menasihatkan penumpang supaya mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi Batik Air sebelum meneruskan perjalanan.







