
KUALA LUMPUR: Ibu bapa dibenarkan tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya masih bimbang terhadap aspek kesihatan dan keselamatan susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kebimbangan ibu bapa berhubung keadaan jerebu ketika ini difahami dan pihaknya sentiasa meletakkan keselamatan serta kesihatan pelajar sebagai keutamaan.
Menurutnya, ibu bapa yang memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah hanya perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
“Saya faham kebimbangan ibu bapa melihat keadaan jerebu ketika ini. Kebimbangan ibu bapa kita dengar.
“Kesihatan dan keselamatan anak-anak tetap menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang kita ambil,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), selain perkembangan situasi semasa khususnya di kawasan yang terjejas.
Katanya, sebarang tindakan berkaitan operasi sekolah dan aktiviti pelajar akan dilaksanakan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
“Apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Apabila IPU melebihi 200, sekolah ditutup,” katanya.
Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) pagi ini, Samarahan, Sarawak menjadi satu-satunya kawasan yang merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat dengan IPU 226.
Sebanyak 40 kawasan di seluruh negara pula merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Selain itu, 24 kawasan berada pada tahap sederhana, manakala dua kawasan mencatatkan bacaan pada tahap baik.
Fadhlina berkata, KPM akan terus mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan sebarang langkah yang diambil bersesuaian dengan keadaan kualiti udara semasa.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa dan pihak sekolah supaya sentiasa mengambil perhatian terhadap kesihatan pelajar, terutama mereka yang terjejas akibat kualiti udara yang tidak sihat.
Pada masa sama, pelajar dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar bilik darjah sekiranya bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat, selaras dengan garis panduan yang ditetapkan.






