
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan penamatan darurat di seluruh Bahagian Serian, Sarawak berikutan keadaan jerebu di kawasan berkenaan kini tidak lagi dilihat mengancam keselamatan dan kesihatan orang ramai.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg serta agensi berkaitan.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan turut mengambil kira perkembangan kualiti udara di kawasan terbabit yang menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian tidak lagi berada pada paras bahaya.
Namun, keadaan jerebu di Sarawak masih belum pulih sepenuhnya dan pemantauan berterusan akan dilakukan oleh kerajaan.
“Keadaan jerebu di Sarawak masih belum pulih sepenuhnya dan bacaan IPU di beberapa kawasan, khususnya Serian dan Samarahan, masih berada pada tahap amat tidak sihat,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak akan terus memantau perkembangan kualiti udara bagi memastikan keselamatan serta kesihatan penduduk sentiasa terpelihara.
Penduduk di kawasan yang masih terjejas turut dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti di luar rumah, khususnya ketika bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat.
Mereka juga diminta sentiasa mematuhi arahan serta nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, Sultan Ibrahim memperkenankan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian berikutan keadaan jerebu yang mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.






